Friday, August 20, 2010

PENGENALAN

Seringkali kita mendengar atau dikejutkan dengan kematian disebabkan oleh darah tinggi.  Walau bagaimanapun, segelintir masyarakat kita jahil tentang penyakit ini dan kadangkala mereka tidak menyedari bahawa mereka mungkin menghidapi penyakit ini. 

Secara amnya, penyakit darah tinggi boleh ditakrifkan jika tekanan darah seseorang lebih tinggi daripada kadar normal dalam suatu jangka masa yang lama. Kadar darah tinggi yang optima bagi seseorang ialah 130/80mmHg.  Sekiranya melebihi kadar optima, individu tersebut digolongkan sebagai pesakit tekanan darah tinggi.

Penyakit darah tinggi diklasifikasikan sebagai penyakit kronik kerana ia boleh membawa kepada komplikasi seperti angin ahmar atau lebih dikenali sebagai strok, kegagalan jantung berfungsi dan boleh membawa kepada kematian.


Bagi mereka yang menghidapi penyakit ini haruslah mengikut segala nasihat doktor manakala  mereka yang tidak mengadapi penyakit ini dinasihatkan agar mengambil langkah berjaga-jaga. Bak kata pepatah " mencegah lebih baik daripada mengubati ".


PENULIS: JUMARIA BINTI MAWI
                  (204713)

Thursday, August 19, 2010

PUNCA BERLAKUNYA PENYAKIT DARAH TINGGI

 TIDAK DIKETAHUI

Kajian menunjukkan 95% terjadinya penyakit ini adalah tidak dapat diketahui. Hal ini disebabkan kerana terdapat beberapa faktor yang boleh meningkatkan risiko untuk mendapat penyakit ini. 

USIA

Antaranya disebabkan oleh faktor usia. Hal ini kerana kebanyakan arteri akan gagal berfungsi. Apabila usia semakin meningkat, keadaan ini akan meningkatkan halangan aliran darah dan mengakibatkan tekanan darah menjadi lebih tinggi.


KETURUNAN


Selain itu, faktor keturunan juga boleh menjadi punca berlakunya penyakit ini ke atas seseorang individu. Sekiranya terdapat ahli keluarga yang menghidapi penyakit ini, maka ahli keluarga lain turut berisiko menghidapi penyakit yang sama.


KEHAMILAN (PIH)

Faktor seterusnya ialah disebabkan oleh kehamilan (PIH). Lazimnya penyakit ini terjadi pada jangka masa yang pendek sahaja iaitu hanya semasa seseorang wanita itu hamil dan kemudiannya akan hilang sebaik sahaja wanita tersebut melahirkan. Sebahagian kecil wanita ini akan mengalami eclampsia pada peringkat akhir tetapi agak sukar menentukan siapa yang lebih berisiko menghadapi penyakit ini. Selain itu, segelintir wanita yang mengalami (PIH) ini adalah merupakan golongan yang telah berusia.


PENYAKIT LAIN

Mengikut kajian, penyakit darah tinggi ini juga boleh disebabkan  oleh penyakit lain yang telah dihidapi oleh individu tersebut. Antara individu yang berisiko untuk menghidapi penyakit ini adalah individu yang mempunyai penyakit seperti kencing manis, buah pinggang, dan juga penyakit advenal.


VASKULAR OTAK

Selain itu, menurut kertas penyelidikan April 2007 yang telah dihasilkan oleh pakar sains British, penyakit vaskular otak adalah punca tekanan darah tinggi. Sebaliknya, penyakit vaskular jantung bukan punca darah penyakit darah tinggi seperti yang dipercayai sebelum itu. Protein yang terdapat pada otak yang dikenali sebagai JAM-1 didapati bertanggungjawab bagi memerangkap sel darah putih yang kemudiannya menyebabkan keradangan dan akan menghalang pengaliran darah. Akhirnya keadaan ini akan mendorong kepada kekurangan darah pada otak yang kemudiannya akan mengawal tekanan darah dalam badan.


 DITULIS: PRESELLER USIT (204722) & CRISTINA LINGOH (206633)





Wednesday, August 18, 2010

KESAN PENYAKIT "PEMBUNUH SENYAP"

Tanpa kita sedari, penyakit darah tinggi atau hipertensi merupakan penyakit paling umum dihidapi oleh orang ramai.  Penyakit ini disifatkan sebagai penyakit "pembunuh senyap".  Hal ini kerana, penyakit hipertensi menyerang pesakit tanpa sebarang tanda atau simptom.
      
      Jika penyakit hipertensi ini dibiarkan berterusan penyakit ini akan memberi pelbagai komplikasi terhadap tubuh badan.  Antara penyebabnya seperti strok, serangan jantung, kegagalan buah pinggang untuk berfungsi, dan komplikasi pada mata.  


      Strok berlaku apabila saluran darah ke otak tersumbat atau pecah.  Kebanyakan strok berlaku daripada darah beku dalam arteri. 


      Manakala, serangan jantung pula berlaku apabila terputusnya bekalan darah arteri koronari secara tiba-tiba.  Kejadian ini berlaku apabila salah satu arteri tersumbat disebabkan gumpalan darah.  Gumpalan darah ini pula terjadi akibat pecahnya plak ateroma dalam salur darah arteri koronari itu.  Sekiranya, gumpalan darah ini tidak dihilangkan dengan segera maka otot jantung akan mati dan seterusnya mengakibatkan kematian kepada penghidapnya.
      
     









PENULIS : NORSURIA BINTI CHE SAB
NO. MATRIK : 204756

Tuesday, August 17, 2010






Berdasarkan keratan akhbar di atas, maka terbuktilah bahawa penyakit ini bukanlah satu penyakit yang baru sebaliknya ia diketahui secara umum dalam kalangan masyarakat. Daripada keratan akhbar ini kita dapat mengetahui bahawa penyakit darah tinggi merupakan satu penyakit kronik yang amat berbahaya dan boleh dihidapi tanpa sebarang simptom. Ramai dalam kalangan masyarakat kita tidak peka tentang tahap kesihatan mereka dan tidak mengambil inisiatif untuk membuat pemeriksaan kesihatan.

                                                                                    
                                                                              Krishna Kumar A/L Govindasamy
                                                                                                  No. Matrik: 204839

Thursday, August 12, 2010

VIDEO MENGENAI PEYAKIT DARAH TINGGI






Berikut merupakan proses serangan penyakit hypertension terhadap tubuh manusia.Terdapat 2 jenis serangan gypertension terhadap tubuh badan manusia iaitu melalui :


1)Embolism : saluran darah yang tersumbat menyerang jantung, arteri, pundi kencing dan retina.


2)Aneurysm : pedarahan dalaman di dalam otak.



Disediakan oleh : MOHAMAD SYAZWAN ZAMER BIN MOHAMAD SALLEH
No. matrik            : 204894
                                                     
                                                     

Tuesday, August 10, 2010

STATISTIK PENYAKIT HIPERTENSI












Presiden Persatuan Hipertensi Malaysia (PHP), Dr Azani Mohamed Daud berkata, dianggarkan sebanyak 0.97 bilion orang mengidap tekanan darah tinggi di seluruh dunia.  Jumlah itu dijangka meningkat kepada 1.56 bilion orang menjelang tahun 2025. Walau bagaimanapun, hanya 35.8 peratus yang prihatin bahawa mereka mempunyai hipertensi.  Namun begitu, yang lebih membimbangkan lagi adalah daripada 4.8 juta rakyat Malaysia yang mengidap penyakit hanya lapan peratus daripada mereka dapat dapat mengawal tekanan darah mereka supaya berada dalam julat yang boleh diterima.

Sunday, August 8, 2010

LANGKAH-LANGKAH PENCEGAHAN PENYAKIT DARAH TINGGI DARI ASPEK PERUBATAN

Tekanan darah ialah tekanan yang dialami darah pada pembuluh arteri setelah dipam oleh jantung ke seluruh anggota tubuh manusia. Tekanan darah diambil berdasarkan dua ukuran dan terdapat dua angka yang akan disebut oleh doktor. Contoh bacaan 140-90 bersamaan 140/90 bersamaan mm/Hg. Angka pertama iaitu 140 menunjukkan tekanan ke atas arteri yang disebabkan oleh denyutan jantung. Oleh hal yang demikian, tekanan ini dikenali sebagai tekanan sistolik atau tekanan atas. Manakala, angka kedua iaitu 90 pula menunjukkan tekanan semasa jantung beristirehat sekaligus dikenali sebagai tekanan diastolik atau tekanan bawah.






TEKANAN DARAH SISTOLIK DIASTOLIK

Darah rendah/hipotensi 90 ke bawah 60 ke bawah

normal 90-120 60-80

Pre-hipertensi 120-140 80-90

Darah tinggi/hipertensi

(peringkat satu) 140-160 90-100

Darah tinggi/hipertensi

(peringkat kedua/berbahaya) 160 ke atas 100 ke atas



Tekanan darah tinggi berlaku apabila pembuluh darah sempit, maka tekanan darah di dalam pembuluh darah meningkat. Jika jumlah darah mengalir bertambah, maka tekanan darah akan meningkat. Kegagalan dalam rawatan darah tinggi boleh mengundang kematian.Oleh hal yang demikian, rawatan perlu dijalankan bagi mencegah penyakit ini. Apabila pesakit membuat pemeriksaan fizikal, doktor akan menggunakan alat sphigmomanometer bagi memeriksa tekanan darah. Selain itu, tensimeter digital dan tensimeter air raksa masih lagi digunakan bagi pemeriksaan fizikal. Pesakit akan disuruh berbaring oleh doktor sebelum pemeriksaan dijalankan. Hal yang demikian kerana, posisi yang baik akan mendapatkan bacaan tekanan darah yang tepat. Doktor akan mengikat kantung udara pada tangan kanan kecuali terdapat sebarang kecederaan pada tangan tersebut.

Jenis ubat darah tinggi ialah ubat Diuretics dan Ace Inhibitors. Fungsi ubat Diuretics ialah menghalang cairan dan sodium yang berlebihan yang boleh menyebabkan pembuluh darah tersumbat. Manakala ubat Ace Inhibitors pula membantu membuka pembuluh darah agar tidak sempit sekaligus menghalang pembentukkan Angiotension II. Angiotension II ialah bahan kimia yang boleh menyebabkan tekanan pada pembuluh darah.
                                                                        
                                               PENULIS : NORFAIZTUL FARAH BINTI MAT DAUD                                 
                                                                   NO.MATRIK :204743
WWW.DECHACARE.COM/TIPS
 
WWW.KLIK4SIHAT.COM/CATEGORY/DARAH
Animated Pictures Myspace Comments
MyNiceProfile.com

Thursday, August 5, 2010

LANGKAH-LANGKAH PENCEGAHAN PENYAKIT DARAH TINGGI DARI ASPEK GAYA HIDUP

Pencegahan darah tinggi atau hipertensi boleh dibahagikan kepada tiga kategori. Antaranya ialah :
1.  PEMAKANAN
·         Pesakit mestilah mengurangkan pengambilan garam dalam makanan, sebaliknya banyakan mengambil makanan yang mengandungi kalium, magnesium, dan kalsium kerana ia mampu mengurangkan tekanan darah tinggi.
·         Pesakit juga mestilah mengurangkan pengambilan makanan yang berkolestrol tinggi atau mengandungi kandungan lemak yang berlebihan kerana kandungan kolestrol yang terlalu tinggi boleh menyempitkan pembuluh darah, sebaliknya  banyakan memakan sayur-sayuran dan buah-buahan seperti sayuran hijau, pisang,tembikai, dan sebagainya.
·         Pesakit hipertensi juga disaran supaya elakkan mengambil minuman beralkohol dan berkafein kerana minuman ini merupakan antara penyumbang kepada tekanan darah tinggi.
·         Selain itu, pesakit juga disarankan supaya menghentikan amalan merokok kerana pengambilan rokok yang terlalu kerap akan membawa kepada masalah lain seperti penyakit yang berkaitan dengan jantung dan darah.

2.      AKTIVITI FIZIKAL ATAU SENAMAN
·         Pesakit mestilah memperbanyakan aktiviti senaman ringan seperti berjoging, aerobik, berjalan kaki atau berjalan cepat, berbasikal, berenang, olahraga dan sebagainya bagi mengurangkan tekanan darah tinggi. Aktiviti ini boleh dilakukan antara 30-45 minit dalam sehari sebanyak 3 kali seminggu.
·         Mengekalkan berat badan yang normal juga perlu untuk mengelakkan berlakunya penyakit darah tinggi atau hipertensi kerana orang yang memiliki berat badan melebihi 30% berat badan ideal mempunyai kemungkinan yang lebih besar untuk mengidap penyakit darah tinggi.
·         Selain itu, pesakit juga mestilah memperbaiki gaya hidup yang kurang sihat kepada yang lebih sihat dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang boleh mengeluarkan peluh supaya badan menjadi lebih sihat.

3.      PEMIKIRAN ATAU MENTALITI
·         Pesakit mestilah menghindari stress dan mengelakkan tekanan serta belajar untuk menangani stress dengan betul.
·         Wujudkan suasana yang tenang dan tenteram kerana kesan ketenangan yang diperolehi dapat mengawal sistem saraf dalam badan dan seterusnya dapat menurunkan tekanan darah tinggi .
·         Pesakit juga boleh menjalani terapi anti stress kerana emosi yang tidak stabil boleh menjadi penyebab kepada penyakit darah tinggi.

DISEDIAKAN OLEH; NURUL SYAZWANI BT ABDULLAH
NO MATRIK : 196650
DISEDIAKAN OLEH; SITI NUR ATIQAH BT OTHMAN
NO MATRIK: 206670

Sunday, August 1, 2010

KESIMPULAN

          Secara keseluruhannya penyakit darah tinggi adalah satu penyakit kronik yang amat berbahaya kerana boleh membawa kepada kematian. Antara faktor berlakunya penyakit ini termasuklah faktor usia yang menyebabkan kegagalan arteri berfungsi, faktor keturunan, kehamilan(PIH), penyakit lain yang telah dihidapi oleh pesakit tersebut dan juga penyakit vaskular otak. Lazimnya, penyakit ini boleh menyebabkan strok, serangan jantung, kegagalan buah pinggang dan komplikasi pada mata. Namun, penyakit darah tinggi ini dapat dikawal dan dihindari  daripada dihidapi jika mengambil kira faktor-faktor seperti pola pemakanan, aktiviti fizikal atau senaman dan juga pemikiran atau mentaliti. Oleh itu, kesedaran mengenai bahayanya penyakit darah tinggi atau hipertensi perlu ditingkatkan dalam kalangan masyarakat kerana penyakit ini membawa punca kesengsaran hidup dan boleh mambawa maut.
                                                               NARANTHIRAN A/L VIJAYAKUMARAN
                                                                    NO MATRIK : 204739